Jemaah Menteri lulus 17 syor tambah baik kawalan keselamatan, saringan di KLIA

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 12:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jemaah Menteri lulus 17 syor tambah baik kawalan keselamatan, saringan di KLIA

PETALING JAYA: Sebanyak 17 syor penambahbaikan kawalan keselamatan dan saringan di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu-pintu masuk antarabangsa negara diluluskan Jemaah Menteri.

Perkara itu terkandung dalam Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan yang turut memberi penekanan kepada enam syor yang perlu diberikan penekanan dan dilaksanakan segera.

KDN dalam kenyataan berkata, antara syor yang diberi penekanan adalah untuk mempercepatkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal melibatkan KDN dan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan secara bersama Ketua Setiausaha daripada kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi serta memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.

“Di samping itu, saringan bersasar berasaskan risiko akan dipertingkatkan menerusi pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko akan dibuat.

“Kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan e-Vetting dan kawalan akses dengan meneliti prosedur tapisan keselamatan terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad,” katanya hari ini.

KDN berkata, pelaksanaan keseluruhan 17 syor turut merangkumi tindakan sederhana dan panjang dimana fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia.

Fasa jangka panjang pula melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi. 

Dalam pada itu KDN berkata, saringan dadah turut dilakukan terhadap kakitangan penerbangan  melalui pelaksanaan saringan prapengambilan, berkala dan secara rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan kehadiran nyata pasukan keselamatan di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan.

“Langkah ini turut disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2, KLIA,” katanya.

Dalam pada itu, KDN berkata, penyelarasan dan perkongsian maklumat keselamatan akan diperkukuh melalui  Sistem Imigresen Bersepadu nasional (NICC).

“KLIA akan menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan ini sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pintu-pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.

Syor penambahbaikan yang terkandung dalam memorandum itu ditubuhkan selepas  seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah ke Jakarta. – UTUSAN

The post Jemaah Menteri lulus 17 syor tambah baik kawalan keselamatan, saringan di KLIA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved