Pelabur asing terus jual saham Bursa Malaysia, aliran keluar RM623.6 juta

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 9:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing terus jual saham Bursa Malaysia, aliran keluar RM623.6 juta Image from: Pelabur asing terus jual saham Bursa Malaysia, aliran keluar RM623.6 juta liza17/08/2026 - 09:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Pelabur institusi asing meneruskan jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM623.6 juta bagi minggu berakhir 14 Ogos 2026, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih pada kesemua lima hari dagangan minggu lalu yang menunjukkan sentimen pelabur luar terhadap pasaran saham tempatan masih berhati-hati.

 

Jualan bersih tertinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM181.3 juta, diikuti Selasa RM171.4 juta, Khamis RM125.9 juta, Rabu RM92.2 juta dan Isnin RM52.8 juta.

 

“Dalam tempoh sama, aliran dana asing di lapan pasaran Asia kembali mencatat pembelian bersih sebanyak AS$9.64 bilion dengan Taiwan, Korea Selatan, India dan Thailand menjadi penerima utama manakala Malaysia antara pasaran yang merekodkan aliran keluar,” kata firma tersebut.

 

Institusi Tempatan, Pelabur Runcit Terus Membeli

Berbeza dengan pelabur asing, institusi tempatan meneruskan trend pembelian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan jumlah RM355.5 juta.

 

Pelabur runcit pula kembali menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk RM268.1 juta, selepas mencatat jualan bersih selama dua minggu berturut-turut.

 

Keadaan itu menunjukkan pelabur tempatan masih memberikan sokongan kepada Bursa Malaysia ketika pelabur asing mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

 

Dari segi jumlah dagangan harian purata, aktiviti semua kumpulan pelabur turut menyusut dengan jumlah dagangan pelabur runcit turun 1.1%, institusi tempatan susut 10.9% dan institusi asing berkurang 3.7%.

 

Kewangan Jadi Sasaran Jualan Asing

MBSB Research berkata sektor pengangkutan dan logistik menjadi sektor pilihan utama pelabur asing dengan aliran masuk bersih RM103.8 juta.

 

Sektor telekomunikasi dan media pula merekodkan aliran masuk bersih RM34.9 juta, diikuti sektor tenaga sebanyak RM19.7 juta.

 

Sebaliknya, sektor perkhidmatan kewangan mencatat jualan bersih asing paling besar sebanyak RM469.3 juta, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM121.2 juta.

 

Sektor produk dan perkhidmatan pengguna turut mencatat aliran keluar asing sebanyak RM89.6 juta, menunjukkan tekanan jualan masih tertumpu kepada beberapa sektor utama di Bursa Malaysia.

 

Westports, Axiata Antara Saham Pilihan Pelabur Asing

Dalam kalangan saham individu, Westports Holdings mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi pada minggu berkenaan sebanyak RM77 juta.

 

Axiata Group pula merekodkan aliran masuk RM54.7 juta, manakala MTT Shipping and Logistics menerima RM21.5 juta, diikuti SkyeChip sebanyak RM18.6 juta dan RHB Bank RM17.4 juta.

 

Saham lain yang turut mencatat pembelian bersih asing ialah YTL Power International sebanyak RM13.6 juta, Hengyuan Refining Co RM12.8 juta, Top Glove Corporation RM12.7 juta, CBH Engineering Holding RM10.3 juta dan YTL Corporation RM10.1 juta.

 

Dalam senarai saham yang paling banyak dijual asing, Maybank mendahului dengan aliran keluar bersih RM293.8 juta diikuti AMMB Holdings RM114.6 juta dan Press Metal Aluminium Holdings RM104.2 juta.

 

Mr DIY Group (M) dan Public Bank turut mencatat jualan bersih asing masing-masing sebanyak RM64 juta dan RM45.4 juta pada minggu berkenaan.

 

Aliran keluar dana asing terus memberi tekanan kepada Bursa Malaysia, namun pasaran masih mendapat sokongan daripada institusi tempatan dan pelabur runcit. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved