Pelaburan pusat data Malaysia melonjak 44.5% kepada RM123.5 bilion dalam sembilan bulan - MIDA

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaburan pusat data Malaysia melonjak 44.5% kepada RM123.5 bilion dalam sembilan bulan - MIDA Image from: Pelaburan pusat data Malaysia melonjak 44.5% kepada RM123.5 bilion dalam sembilan bulan - MIDA sarah17/11/2026 - 12:49 Gambar hiasan dari laman web MIDA. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Pelaburan yang diluluskan bagi projek pusat data dan pengkomputeran awan di Malaysia melonjak 44.5% kepada RM123.5 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI).

 

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebanyak 86 projek pusat data dan pengkomputeran awan diluluskan antara Januari hingga September 2026, menyumbang 35.2% daripada keseluruhan pelaburan negara berbanding 29.4% dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu menjadikan pusat data antara pemacu utama pertumbuhan pelaburan negara, dengan keseluruhan pelaburan diluluskan meningkat 20.7% kepada RM350.4 bilion daripada RM290.3 bilion setahun sebelumnya, melibatkan 4,387 projek yang dijangka mewujudkan 152,090 peluang pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.

 

MIDA berkata, subsektor maklumat dan komunikasi mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sektor perkhidmatan sebanyak RM133.5 bilion, sebahagian besarnya disokong pembangunan pusat data dan pengkomputeran awan yang semakin penting kepada ekonomi digital Malaysia.

 

Pusat data perlu gunakan sekurang-kurangnya 30% kandungan tempatan

Seiring pertumbuhan pesat industri itu, MIDA berkata, Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) menetapkan syarat penggunaan kandungan tempatan minimum 30% bagi projek pusat data baharu untuk membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat Malaysia.

 

Langkah tersebut bertujuan memastikan pelaburan berskala besar dalam infrastruktur digital turut memberikan manfaat kepada pembekal tempatan, selain menyokong usaha Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030.

 

Antara projek yang mendapat kelulusan termasuk pengembangan pusat data AirTrunk Malaysia serta pembangunan kampus pusat data baharu oleh Princeton Digital Group, yang dijangka meningkatkan kapasiti pusat data berskala besar negara.

 

Johor terima pelaburan tertinggi RM99.7 bilion

Dari segi lokasi, Johor mendahului negeri lain dengan pelaburan diluluskan RM99.7 bilion, termasuk RM68.3 bilion dalam sektor perkhidmatan yang sebahagian besarnya melibatkan aktiviti maklumat dan komunikasi, diikuti Selangor sebanyak RM87.9 bilion dan Pulau Pinang RM41.1 bilion.

 

MIDA berkata, kerajaan Johor turut menubuhkan sebuah majlis bagi menilai cadangan pembangunan pusat data dengan memberikan tumpuan kepada kemudahan Tier 3 dan Tier 4, selaras dengan pendekatan kelulusan lebih terpilih oleh DCTF.

 

Selangor pula mencatatkan jumlah projek diluluskan tertinggi sebanyak 1,302 projek yang dijangka mewujudkan 34,971 pekerjaan, disokong ekosistem digital sedia ada di Cyberjaya dan Lembah Klang.

 

Pelaburan asing meningkat 40.7% kepada RM212.3 bilion

Secara keseluruhan, pelaburan asing yang diluluskan meningkat 40.7% kepada RM212.3 bilion atau 60.6% daripada jumlah pelaburan negara, manakala pelaburan domestik berjumlah RM138.1 bilion, susut sedikit sebanyak 1%.

 

Amerika Syarikat menjadi sumber pelaburan asing terbesar dengan RM60 bilion, diikuti China sebanyak RM38.6 bilion, Singapura RM38.5 bilion, Jepun RM24.4 bilion dan Australia RM12.6 bilion.

 

Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi pelaburan itu menunjukkan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, namun manfaat sebenar pelaburan perlu dinilai berdasarkan peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan keupayaan industri tempatan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kelulusan pelaburan hanyalah langkah awal, manakala pelaksanaan projek menjadi penentu kepada pembinaan kilang, pertumbuhan aktiviti perniagaan dan penciptaan pekerjaan.

 

Beliau berkata, MIDA akan terus bekerjasama dengan pelabur dan agensi kerajaan bagi menangani cabaran pelaksanaan projek serta menghubungkan pelaburan baharu dengan pembekal tempatan dan tenaga kerja Malaysia.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved