Intipati Berita
Bedah siasat mengesahkan kecederaan trauma tumpul di kepala sebagai punca kematian pelajar perempuan berusia 16 tahun itu.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh IPD Batu Pahat.
PDRM memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan profesional tanpa sebarang elemen cover-up.
Kecederaan trauma tumpul di bahagian kepala disahkan sebagai punca kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dibunuh di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor pada 3 Oktober lalu.
AdvertisementPengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, punca kematian itu dikenal pasti menerusi proses bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes itu akan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“PDRM turut memberi jaminan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up‘ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan dapat kerjasama pihak sekolah dan KPM
M Kumar berkata, siasatan kes berkenaan kini berjalan lancar dan pihak polis turut menerima kerjasama penuh daripada pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan pada 3 Oktober, iaitu pada hari kejadian.
“Suspek kini dikenakan perintah reman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober ini selepas permohonan reman terhadapnya dibenarkan oleh Majistret.
“Kes berkenaan sedang disiasat secara terperinci oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.
Orang ramai diminta hentikan spekulasi
Dalam pada itu, M Kumar turut menggesa orang ramai supaya menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghentikan penyebaran maklumat palsu berkaitan kes berkenaan.
Beliau berkata, kes masih berada pada peringkat siasatan dan sebarang spekulasi boleh mengganggu proses tersebut.
“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau memberi sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat berusia 16 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat sebelum disahkan meninggal dunia.
Mangsa ditemukan kira-kira jam 5.30 petang selepas neneknya datang ke sekolah berkenaan apabila menyedari cucunya tidak pulang ke rumah.
Kes kini masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
"Dia Tak Berminat Bercinta, Nak Fokus Pelajaran" - Polis Dedah Punca Kematian Irene Sofiya
The post Trauma Tumpul Di Kepala Punca Kematian Pelajar 16 Tahun Di Yong Peng, PDRM Jamin Tiada ‘Cover-Up’ first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






