
Viral di TikTok, semangat mulia pelajar sekolah bantu rakan OKU
Pelajar Dukung Rakan Sekelas OKU Naik Tangga, Netizen Terharu Dengan Persahabatan Mereka. Satu hantaran tular di media sosial yang mengharukan telah menyentuh hati ramai netizen selepas klip yang menunjukkan seorang budak perempuan muda melakukan perbuatan baik untuk rakan sekelasnya yang kurang upaya (OKU).
Menerusi perkongsian di laman TikTok, seorang individu menunjukkan seorang budak perempuan muda mendukung rakan sekelasnya sambil menaiki tangga.

Walaupun tindakan itu pasti memenatkan secara fizikal bagi budak perempuan itu, dia mendukung rakan sekelasnya di belakangnya sehingga mereka sampai ke tingkat seterusnya tanpa sebarang kerutan di wajahnya.
Apabila sampai ke destinasi mereka, budak perempuan itu perlahan-lahan menurunkan rakan sekelasnya dan dapat dilihat bahawa rakan itu mengalami kecacatan pada kakinya.
Seorang rakan sekelas lain kemudian tampil dan meminta budak perempuan kurang upaya itu untuk naik ke belakangnya. Selepas memastikan rakan sekelasnya berada dalam kedudukan yang selamat, dia kemudian berlari sepanjang koridor manakala dua orang budak perempuan lain mengikuti mereka dari belakang.
Ramai netizen terharu dengan tindakan rakan sekelas tersebut
“Semangat persahabatan. Kawan sepanjang hayat,” ujar individu yang memuat naik video tersebut di laman TikTok.
Dalam pada itu, rata-rata netizen tidak dapat menahan air mata melihat ikatan kuat antara budak-budak perempuan tersebut.
Mereka juga memuji budak perempuan itu kerana menjaga rakan sekelasnya yang kurang upaya, sambil menambah bahawa mereka berharap untuk melihat persahabatan mereka kekal sepanjang hayat.


