
KUANTAN - Seramai 14 individu, termasuk 11 warga China, masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkomplot melakukan penipuan dalam talian membabitkan pelaburan tidak wujud dan sindiket penipuan cinta (Love Scam).
Majistret Ruzuaini Tuan Lah menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh dalam dua kes berasingan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Cina oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Kes pertama membabitkan tujuh warga China, iaitu Li Jiaxiang, 37; Wang Zhidong, 32; Tai Yunxin, 35; Pang Youguang, 46; Sun Fanglei, 32; Hu Yu, 34; dan Huang Chao, 28.
Mereka didakwa berkomplot melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud di sebuah premis di Lorong Galing, berhampiran Jalan Haji Ahmad, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 7 Oktober lalu.
Kes kedua pula melibatkan tujuh individu, termasuk tiga warga Malaysia, iaitu Tiong Chia Cheun, 31; Ong Kian Hee, 34; Na Jianguo, 33; Ni Peng, 29; Liu Jiachen, 29; Rolence Loo Chin Shiang, 32; dan Liu Jiayin, 19.
Mereka didakwa berkomplot menjalankan kegiatan penipuan cinta dengan menyunting imej lucah sebelum menggunakannya untuk memperdaya mangsa supaya membuat pembayaran.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah premis di Jalan Kubang Buaya kira-kira jam 9 malam pada 12 Oktober lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Najmi Zaki bin Amer Suhaimi.
Kumpulan pertama diwakili peguam Muhammad Saifuldin Ab Rahman, manakala kumpulan kedua diwakili Ahmad Syamsul Akmar Yusof. - Getaran, 22 Oktober 2026






