
SHAH ALAM - Situasi di sebuah sekolah menengah di Shah Alam kecoh selepas seorang pelajar lelaki cedera di lengan akibat dikelar menggunakan senjata tajam oleh rakan sekelasnya, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.42 pagi itu, mangsa dan suspek masing-masing berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian lengan akibat kejadian berkenaan.
Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas kejadian.
“Hasil siasatan mendapati senjata tajam yang digunakan suspek ialah sebilah kerambit berukuran 10 sentimeter.
“Tiada tujuan atau motif khusus dikenal pasti kerana suspek berada dalam keadaan tidak sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial mengenai kejadian pelajar ditikam di sebuah sekolah menengah sekitar Shah Alam tular di media sosial. - Getaran, 11 Ogos 2026






