
SHAH ALAM – Suasana sebuah sekolah menengah di sekitar daerah ini gempar selepas seorang lelaki dicederakan rakan rakan perempuan sekelasnya menggunakan kerambit di sebuah sekolah menengah di daerah ini, minggu lalu.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 11.42 pagi Rabu lalu itu melibatkan kedua-dua individu berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian lengan akibat kejadian tersebut.
Katanya, susulan kejadian suspek telah ditahan bagi membantu siasatan kes.
“Hasil siasatan mendapati senjata tajam digunakan suspek tersebut adalah kerambit sepanjang 10 sentimeter. Dalam kes ini, tiada tujuan tertentu dengan motif disebabkan suspek kurang sihat,” katanya hari ini.
Beliau berkata, suspek telah diberikan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Untuk rekod, ini merupakan insiden ketiga melibatkan pelajar di dalam kawasan sekolah menengah berkaitan senjata tajam dalam tempoh dua tahun.
Kes sebelum ini melibatkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditikam rakan sekolahnya berusia 15 tahun di Damansara Utama dekat sini.
Pada bulan lalu, seorang pelajar berusia 15 tahun cedera ditikam dipercayai sehingga 16 kali oleh rakannya ketika hendak duduk selepas membeli roti di kawasan sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat.
Terdahulu, tular hantaran Thread memaklumkan berlakunya kes tikaman melibatkan pelajar di sebuah sekolah menengah di sekitar Shah Alam. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar perempuan tusuk rakan lelaki guna kerambit di sekolah appeared first on Kosmo Digital.






