
PARIS – Pasukan keselamatan Perancis menahan lebih 600 orang semalam, manakala puluhan anggota polis dan askar cedera ketika tunjuk perasaan yang menyaksikan sekatan di sekolah-sekolah tinggi dan pertempuran ganas semakin memuncak, kata Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez
Demonstrasi disertai pelajar berumur 15 hingga 18 tahun itu menimbulkan kemarahan kerajaan.
Sejak minggu lalu, kumpulan pelajar mengadakan bantahan di luar sekolah kerana membantah pelbagai isu dari jadual waktu, saiz kelas dan kekurangan guru, hinggalah kepada keadaan bilik darjah yang terlalu panas semasa gelombang haba pada tahun ini.
Bantahan bermula di wilayah Île-de-France dekat Paris tetapi merebak ke bandar-bandar lain di seluruh negara.
“Seramai 625 orang ditahan semasa membuat sekatan di sekolah-sekolah tinggi semalam
“83 anggota polis dan askar cedera semasa bantahan itu yang menjejaskan 356 sekolah,” kata Nunez yang mengecam ‘peningkatan keganasan’ di luar sekolah tertentu.
Beliau mengecam tindakan ‘menyasarkan pegawai penguat kuasa undang-undang, membaling objek, tindakan keganasan, penderaan lisan, cubaan membakar, serta apa yang disifatkan sebagai keganasan bandar’.
“Sejak gelombang ketidakstabilan bermula minggu lalu, seramai 119 pelajar dan kakitangan sekolah cedera,” kata Menteri Pendidikan Edouard Geffray pula.
Bandar paling teruk terjejas termasuk Paris, Bordeaux, Lyon dan Lille di utara Perancis di mana polis sekali lagi menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan. – AFP
The post Pelajar merusuh, polis tangkap lebih 600 orang appeared first on Kosmo Online.





