
DUNGUN : Rahsia seorang pelajar melahirkan bayi lelaki di tandas asrama sebuah kolej di daerah ini, terbongkar selepas dia meminta bantuan pengurusan sebuah masjid untuk menguruskan pengebumiannya , malam Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan berhubung kes berkenaan pada pukul 10.48 malam tadi dan siasatan awal mendapati pelajar berusia 19 tahun itu melahirkan bayi berkenaan di tandas asrama selepas mengalami keguguran.
“Pelajar itu membungkus bayi lelaki itu dengan kain sebelum memasukkannya ke dalam beg dan menyimpannya di dalam loker asrama,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pelajar itu kemudian menghubungi pihak pengurusan sebuah masjid bagi meminta bantuan untuk menguruskan pengebumian bayi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pihak masjid memaklumkan perkara itu kepada pengurusan kolej berkenaan sebelum polis menerima laporan.
“Polis akan mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan selain mendapatkan keterangan daripada saksi berkaitan,” katanya.
Nik Ab. Halim berkata, mayat bayi berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. – UTUSAN
The post Pelajar minta bantuan masjid kebumi bayi, rahsia kelahiran terbongkar appeared first on Utusan Malaysia.






