Pelajar MRSM Dihidang Telur Busuk Hingga Sakit Perut & Cirit-birit, MARA Diarah Siasat

Entertainment
1 Nov 2023 • 11:07 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Tular sejak semalam beberapa keping gambar memaparkan hidangan telur busuk yang dihidangkan kepada pelajar oleh dewan selera di sebuah sekolah berasrama penuh.

Menerusi hantaran di Facebook, seorang wanita tampil mendedahkan perkara terbabit dengan memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku kepada pelajar-pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Jelebu.

Dalam hantaran pengadu lain, hidangan tersebut telah menyebabkan pelajar-pelajar yang termakan telur itu mengalami sakit perut dan cirit-birit.

Katanya, kejadian seperti itu pernah berlaku sebelum ini iaitu para pelajar mengadu sakit perut selepas menjamah makanan di dewan selera sekolah terbabit.

Difahamkan, beberapa aduan telah dibuat berhubung kualiti makanan yang dihidangkan tetapi masih tiada tindakan diambil sehingga memaksa segelintir ibu bapa untuk menularkan isu ini.

Isu tersebut telah mendapat perhatian Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki apabila beliau menerima banyak mesej dan aduan melalui media sosial berhubung isu terbabit.

Melihat isu yang timbul, beliau mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara untuk segera menyiasat dan ambil tindakan tegas terhadap kejadian itu.

Katanya, tiada kompromi terhadap mana-mana kontraktor dewan selera yang ambil mudah dan enteng dalam isu penyediaan makanan pelajar.

“Saya juga sudah minta laporan penuh daripada pengurusan MARA paling lewat esok (hari ini),” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Tegasnya, jika didapati kecuaian ini benar-benar berlaku, MARA akan ambil tindakan tegas termasuklah menamatkan kontrak sebagaimana perjanjian dan peraturan yang ditentukan.


Tak dapat bayangkan apa yang dialami para pelajar yang termakan telur tu.

Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.