Pelajar Perempuan Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Lelaki Tingkatan 2 Di Sekolah Di Bandar Utama

14 Oct 2025 • 2:09 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya maut dipercayai ditikam pelajar lelaki Tingkatan Dua.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat insiden berkenaan berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan sekitar jam 9.10 pagi hari ini (14 Oktober).

Jelas beliau, perkara itu disedari seorang guru selepas mendengar bunyi jeritan mangsa.

Suspek, pelajar tingkatan 2 telah ditahan

“Anggota polis yang segera dihantar ke lokasi telah menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kita telah merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini,” katanya dipetik Astro Awani.

Tambahnya mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. Mayatnya kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Motif kejadian juga masih dalam siasatan.

Suspek bawa senjata tajam ke sekolah – sumber BH

Dalam pada itu, Berita Harian yang memetik sumber berkata, suspek, dipercayai membawa senjata tajam, dipercayai pisau ke sekolah.

Maklumat awal turut mengatakan suspek turut menikam pelajar lain dan pada masa ini pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Mangsa ditikam di bahagian dada – Polis

Dalam satu lagi laporan, beliau berkata siasatan awal mendapati terdapat beberapa tikaman di bahagian badan pelajar perempuan itu.

“Kita rampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini. Kita akan sahkan kemudian (jenis senjata digunakan) itu nanti.

“Kecederaan tikaman (didapati di bahagian badan mangsa). Apabila laporan bedah siasat keluar nanti, kita akan tahu berapa jumlah tikaman sebenar,” kata beliau lagi.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian – KPN

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang mengulas insiden turut memaklumkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ia satu kejadian yang menyedihkan, pelajar perempuan itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Suspek telah ditahan, kes masih dalam siasatan, motif kejadian belum dapat dikenal pasti,” katanya dipetik Sinar Harian selepas menghadiri Kempen Anti Buli Polis Diraja Malaysia.

Majlis graduasi tingkatan 5 dibatalkan

Memetik laporan Sin Chew Daily pula, pihak sekolah juga telah membatalkan majlis graduasi pelajar tingkatan lima yang sepatutnya berlangsung pada tengah hari ini.

Menurut Sin Chew yang memetik ibu bapa pelajar di sekolah itu, majlis berkenaan sepatutnya berlangsung di sebuah dewan bankuet sebuah kelab berhampiran sekolah.

Namun disebabkan hal kecemasan, pihak sekolah telah mengumumkan pembatalan majlis graduasi tersebut menerusi kumpulan ibu bapa pada pagi tadi.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa foto insiden selain dakwaan suspek menggunakan pisau rambo untuk menikam mangsa.