
PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki akhirnya bersuara berhubung isu tindakan segelintir pihak yang didakwa menahan sijil peperiksaan pelajar cemerlang kerana tunggakan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Beliau menerusi laman Facebook miliknya meluahkan di sebalik tindakan yang diambil, perlu ada sifat ihsan dalam membuat pertimbangan.
"Tidak perlulah sampai duit dan sijil kecemerlangan ditahan kerana tunggakan yuran PIBG.
"Hidup ini kena ada nilai ihsan dan kemunasabahan dan pertimbangan akal (common sense), barulah semua hidup dalam berkat dan sejahtera," kongsinya.
Terdahulu, seorang pelajar yang meraih 9A di Senawang didakwa ditahan secara sementara sijil kecemerlangan dan wang bernilai RM250 susulan yuran (PIBG) yang tertunggak.
Menurut sepupu pelajar tersebut, yuran tersebut tertunggak sejak Tingkatan Satu dan bukanlah berasal daripada keluarga senang.

Isu berkenaan juga mendapat perhatian aktres Rita Rudaini. Dia menegur tindakan berkenaan yang tidak wajar kerana melibatkan hak pelajar yang berusaha kuat demi meraih keputusan cemerlang.
“Kalau pun ada tunggakan, selesaikan dengan cara bijak bukan sekat hak dia (pelajar).
“Yang berusaha itu dia, jadi kenapa hak dia dinafikan? Jangan jadikan sistem sebagai alasan untuk menindas yang tak bersalah. Sijil itu bukan ganjaran, itu bukti usaha dia yang tak patut disekat,” titipnya di Instastory.
“Biarlah dia raikan usahanya, tunggakan ‘persatuan’ (PIBG) itu jangan campur adukkan. Boleh berbincang untuk selesaikan dengan macam mana cara pun. Persatuan tiada hak nak sekat apa-apa pun.
“Persatuan pun atas nama ibu bapa dan pelajar, patut lebih tahu macam mana nak menjaga kebajikan bukan menekan-nekan (memaksa),” ujarnya.

Rita dalam masa yang sama berharap Kementerian Pendidikan Malaysia bertindak susulan isu terbabit.
“Bila PIBG tak jalankan tanggungjawab dengan adil dan betul kepada ibu bapa serta pelajar pula bagaimana?
“Sumbangan, wang ringgit selama ini daripada sokongan ibu bapa walaupun hanya RM1. Tanpa sumbangan daripada ibu bapa persatuan akan lumpuh.
“Kementerian Pendidikan mohon ambil tindakan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Persatuan hanya persatuan asalkan pelajar ini tidak pernah melakukan kesalahan melanggar undang-undang sekolah,” tambahnya lagi.
Sumber: TikTok




