
NIBONG TEBAL: Pelajar Tingkatan Enam akan menerima elaun sara hidup berjumlah RM2,500 yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 mulai semester pertama tahun depan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
“Sebaik sahaja proses pendaftaran semua pelajar Tingkatan Enam selesai, kita akan menyalurkan bantuan itu pada semester pertama mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia Peringkat Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini.
Beliau berkata elaun itu akan diberikan secara berperingkat sepanjang tiga semester pengajian, dengan jumlah kira-kira RM800 bagi setiap semester.
Fadhlina berkata pemberian itu membuktikan komitmen kerajaan khususnya dalam membantu menyokong keperluan pelajar Tingkatan Enam dari segi pembelajaran, selain meningkatkan kualiti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Pada 9 Okt lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan elaun sara hidup itu, yang menyamai elaun diterima pelajar matrikulasi, dan dijangka memanfaatkan 90,000 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara.
Pemberian elaun itu adalah antara 12 resolusi yang dibangkitkan pada Kongres Prauniversiti MADANI di Klang, Selangor pada Ogos lepas.






