Pelajar Tingkatan Enam bakal menerima Elaun Sara Hidup berjumlah RM2,500 sepanjang tempoh pengajian bermula tahun depan menerusi inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Bantuan akan diberikan secara berperingkat
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, bantuan itu akan dibayar secara berperingkat sepanjang tiga semester, dengan bayaran melebihi RM800 bagi setiap semester.
Menurutnya, penyaluran elaun akan bermula pada semester pertama selepas proses pendaftaran semua pelajar Tingkatan Enam selesai.
“Ia (elaun pelajar Tingkatan Enam) akan bermula tahun depan kerana ini Belanjawan 2027. Sebaik sahaja pendaftaran semua pelajar Tingkatan Enam selesai, kita akan sampaikan bantuan itu pada semester pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di Taman Widuri, hari ini.

Bantuan diberikan sebagai bentuk sokongan teruskan pembelajaran
Fadhlina turut menyatakan pemberian elaun berkenaan bertujuan memastikan pelajar Tingkatan Enam mendapat sokongan sewajarnya dalam meneruskan pembelajaran.

Inisiatif itu juga diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam, khususnya dalam memperkukuh pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sumber: Buletin TV3 (Nur Izzati Mohamad)






