Pelajar Wanita 19 Tahun Maut Dicekik, Kekasih Cemburu Mangsa Jumpa Lelaki Lain Motif Kejadian – Polis

7 Oct 2026 • 1:49 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Pelajar Wanita 19 Tahun Maut Dicekik, Kekasih Cemburu Mangsa Jumpa Lelaki Lain Motif Kejadian – Polis

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (6 Oktober), media melaporkan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemukan maut di sebuah rumah di Air Putih, Kuantan .

Terbaharu, Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suspek kerana teman wanitanya berjumpa lelaki lain menyebabkan dia mencekik mangsa.

Pelajar berusia 19 tahun itu ditemui maut dipercayai dicekik teman lelakinya selepas mereka bertengkar di rumah tersebut.

Suspek yang juga berusia 19 tahun kemudiannya ditahan polis di rumah kejadian dan direman sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kes.

Mangsa Meninggal Dunia Akibat Kekurangan Oksigen Selepas Dijerut Pada Leher

Menurut beliau hari ini (7 Oktober), hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada leher hingga mengakibatkan kekurangan oksigen.

“Motif Pembunuhan Dipercayai Akibat Cemburu Antara Pasangan Kekasih Selepas Mangsa Jumpa Lelaki Lain” – Polis

Azry berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek terhadap mangsa yang juga berusia 19 tahun.

“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu antara pasangan kekasih itu kerana suspek tidak berpuas hati mangsa berjumpa lelaki lain.

“Suspek sendiri yang menghubungi pihak polis dan memaklumkan dia sudah mengambil tindakan mencekik mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

Suspek Tinggal Bersama Mangsa & Rakan Pelajar Yang Lain

Dalam pada itu, suspek yang berasal dari Perak dipercayai datang ke rumah sewa mangsa kira-kira seminggu lalu sebelum tinggal bersama pelajar berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang merupakan penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) itu menyewa rumah tersebut bersama rakan-rakan yang lain.

“Suspek sebelum ini pernah belajar bersama mangsa, namun sudah diberhentikan pengajian dan kini tidak bekerja.

“Ujian air kencing terhadap suspek juga didapati negatif, manakala keadaan mentalnya setakat ini adalah normal,” katanya.

Jiran Lihat Mangsa Berjalan Dengan Suspek Pada Malam Sebelum Kejadian

Sebelum ini, jiran kepada mangsa berkata, penuntut berusia 19 tahun terbabit dilihat berjalan bersama suspek sekitar Jalan Air Putih, Kuantan, beberapa jam sebelum ditemukan meninggal dunia keesokan harinya.

“Saya melihat mereka malam tadi dan sangat terkejut apabila diberitahu mengenai kematian gadis itu kira-kira jam 6 pagi tadi (6 Oktober),” katanya, dipetik Berita Harian.

Menurut wanita berusia 40-an itu, keempat-empat penuntut yang menginap di rumah tersebut kira-kira enam bulan lalu sering berjalan di sekitar kawasan kejiranan secara berpasangan.

Jabatan Pendidikan Politeknik Akan Beri Kerjasama Dengan Polis Untuk Bantu Siasatan Kes Kematian Pelajar

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kematian pelajar dari institusi terbabit.

“Kami menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta menghormati privasi keluarga mendiang dalam waktu sukar ini,” kata JPPKK.

Suspek Hubungi Polis Selepas Bertengkar Dengan Mangsa

Terdahulu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik sewa berkenaan selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada suspek pada jam 4.32 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, suspek sendiri menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian yang berlaku selepas dia bertengkar dengan mangsa.

“Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas katil di tingkat bawah rumah berkenaan.”

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved