Cemburu punca lelaki disyaki cekik kekasih hingga maut

7 Oct 2026 • 2:59 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Cemburu punca lelaki disyaki cekik kekasih hingga maut

SHAH ALAM, 7 OKT: Perasaan cemburu dipercayai menjadi motif seorang lelaki berusia 19 tahun mencekik teman wanitanya sehingga maut di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, Kuantan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata hasil bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan mangsa yang juga berusia 19 tahun meninggal dunia akibat jerutan pada leher hingga menyebabkan kekurangan oksigen.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa berjumpa lelaki lain.

“Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu antara pasangan kekasih itu kerana suspek tidak berpuas hati mangsa berjumpa lelaki lain.

“Suspek sendiri yang menghubungi pihak polis dan memaklumkan dia sudah mengambil tindakan mencekik mangsa,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Polis Zaiham Mohd Kahar di Bentong, hari ini.

Azry Akmar berkata suspek yang berasal dari Perak dipercayai datang ke rumah sewa mangsa kira-kira seminggu lalu sebelum tinggal bersama wanita berkenaan. Mangsa berasal dari Kedah dan menyewa rumah berkenaan bersama beberapa rakan yang juga pelajar.

Menurutnya, suspek sebelum ini pernah belajar bersama mangsa tetapi sudah diberhentikan pengajian dan kini tidak bekerja. Ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif manakala keadaan mentalnya setakat ini normal.

Suspek kini direman sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan lanjut. Mayat mangsa pula sudah dituntut keluarga sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kedah untuk urusan pengebumian.

Terdahulu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik sewa berkenaan selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada suspek pada jam 4.32 pagi, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved