Pelaksanaan peraturan kecekapan tenaga dijangka pacu perkembangan hasil KJTS - Kenanga

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2025 • 12:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaksanaan peraturan kecekapan tenaga dijangka pacu perkembangan hasil KJTS - Kenanga

image is not available

07/08/2025 - 12:21

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Penyedia perkhidmatan penyejukan, KJTS Group Bhd berpotensi meraih manfaat daripada pelaksanaan Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga (EECA) yang mula berkuat kuasa tahun ini, menurut Kenanga Research.

Katanya, rancangan kumpulan untuk mengambil alih syarikat penyejukan dan pengagihan elektrik di KL Sentral, Malakoff Utilities Sdn Bhd, serta usaha sama dengan Stonepeak Partners LP dalam sektor yang sama, dilihat sebagai langkah awal mendapatkan projek jangka panjang dan peluang berkaitan aset kerajaan.

“Kami menganggarkan jumlah pasaran boleh dicapai dalam sektor tenaga penyejukan di Malaysia sebanyak RM41 bilion, di mana KJTS berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam tren pertumbuhan struktur ini, seumpama saham solar ketika melalui fasa lonjakan,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu memulakan liputan terhadap KJTS Group dengan saranan "outperform" dengan harga sasaran RM2.12 sesaham.

Katanya, di bawah pelaksanaan EECA, sebanyak 1,500 pengguna tenaga dalam sektor industri dijangka meningkatkan kecekapan tenaga mereka untuk mematuhi peraturan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia turut merangkumi bangunan kerajaan dan akhirnya sehingga 4,100 hotel dan hospital pada masa depan.

Bagi KJTS, nilai sebenar dalam usaha sama bersama syarikat bersekutu Stonepeak untuk meneroka aset penyejukan daerah dan pengagihan elektrik terletak pada aliran pendapatan berulang selama 20 tahun, di mana sebahagian besar keuntungan boleh memberi sumbangan langsung kepada keuntungan bersih KJTS.

Firma penyelidikan itu berkata, Ini kerana KJTS telah dilantik sebagai penyedia eksklusif bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan untuk semua projek usaha sama.

Selain itu, pengambilalihan Malakoff Uitilities bernilai RM65.5 juta turut merangkumi sasaran meningkatkan keuntungan sekurang-kurangnya lima kali ganda kepada RM10 juta, sekali gus meletakkan KJTS sebagai peneraju untuk merebut sebahagian daripada pasaran pengubahsuaian sektor awam bernilai RM5 bilion, yang merangkumi sekurang-kurangnya 284,500 RT kapasiti penyejukan.

Katanya, beroperasi di Malaysia, Singapura dan Thailand, KJTS dahulunya merupakan sebahagian daripada kumpulan kecekapan tenaga global Dalkia Group, namun telah diswastakan oleh pihak pengurusan syarikat selepas Dalkia keluar dari rantau ini pada tahun 2014. Syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan pengurusan fasiliti dan pembersihan.

Kumpulan itu mencatatkan prestasi terbaiknya dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), dengan keuntungan bersih sebanyak RM4.23 juta atau 0.61 sen sesaham, daripada hasil sebanyak RM46.55 juta.- DagangNews.com

standard