Pada pertengahan tahun ini, NVIDIA telah menyatakan hasrat mereka untuk memasuki pasaran CPU untuk komputer kelas pengguna dan juga pembangun teknologi menggunakan pengetahuan pembuat cip pemprosesan mereka sendiri.
Malah, sekitar acara Computex pada tahun ini, NVIDIA telah memperlihatkan beberapa produk daripada Alienware, Acer, Lenovo dan Dell untuk memperkenalkan komputer-komputer baru untuk pasasran pengguna dan juga pembangun teknologi AI.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa NVIDIA akan terpaksa menunda pelancaran cip pemprosesan untuk peranti kelas pengguna yang dinamakan NVIDIA N1 dan N1X, kerana kecacatan fizikal yang diperlihatkan pada banyak CPU-CPU tersebut. Ia dilihat cukup serius, sehingga ia dilaporkan bahawa pelancarannya akan perlu ditunda sehingga pertengahan 2026 kerana ia memerlukan kemaskini dari segi penggunaan silikon baru.

NVIDIA sepatutnya memperkenalkan cip pemprosesan N1 dan N1X ini di acara Computex tempoh hari, tetapi pada waktu tersebut, isu dari segi perisian telah menyebabkan mereka menunda pengumuman berkenaan CPU tersebut.
CPU NVIDIA N1 dan N1X sepatutnya dilancarkan pada awal tahun 2026, bersama-sama dengan komputer yang dikuasakan oleh cip pemprosesan NVIDIA GB10 yang juga dibangunkan pada masa yang sama.
Bercakap mengenainya, cip NVIDIA GB10 yang dibangunkan dibawah Proejct DIGITS dengan kerjasama MediaTek yang akan menguasakan superkomputer mini untuk tujuan pembangunan teknologi AI masih lagi diteruskan, dan dijangka akan dilancarkan pada awal tahun hadapan, melalui jenama-jenama pembuat komputer yang dikatakan sebelum ini.

