Pelanggan Singapura bantu Focus Point di Johor Bahru muncul sebagai cawangan berpendapatan tertinggi - Mercury Securities

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 4:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelanggan Singapura bantu Focus Point di Johor Bahru muncul sebagai cawangan berpendapatan tertinggi - Mercury Securities Image from: Pelanggan Singapura bantu Focus Point di Johor Bahru muncul sebagai cawangan berpendapatan tertinggi - Mercury Securities sarah25/11/2026 - 16:07 Gambar dari Facebook Focus Point. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Kehadiran pembeli dari Singapura dan pelancong membantu Focus Point Concept Store di Mid Valley Southkey, Johor Bahru muncul sebagai cawangan yang menjana pendapatan tertinggi dalam kumpulan Focus Point Holdings Berhad (Focus Point) sepanjang tiga bulan lalu.

 

Mercury Securities dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, cawangan berkenaan yang baru berpindah ke tingkat satu pusat beli-belah itu mendapat manfaat daripada kedudukannya yang strategik serta kehadiran pembeli Singapura dan pelancong.

 

Focus Point turut memperkukuh kehadirannya di pusat beli-belah berkenaan menerusi pengenalan Focus Point Prestige di tingkat bawah yang menyasarkan segmen cermin mata mewah, sekali gus menjadikan empat jenama berbeza kumpulan beroperasi di lokasi sama bagi memenuhi permintaan pengguna daripada pelbagai kategori harga.

 

Sasar buka 15 cawangan baharu pada 2027

Mercury Securities berkata, Focus Point telah membuka 17 cawangan optikal baharu setakat ini pada 2026, melebihi sasaran asal sebanyak 10 cawangan atau 70%, selepas empat cawangan yang dirancang bagi suku keempat memulakan operasi pada Oktober dan November.

 

Bagi 2027, pihak pengurusan menyasarkan pembukaan 15 lagi cawangan baharu dengan memberikan keutamaan kepada jenama Focus Point, Signature, Concept Store dan Anggun, selain memperluas kehadirannya di Malaysia Timur.

 

Teknologi saringan mata AI tersedia di 110 cawangan

Dalam usaha meningkatkan daya saing berbanding peruncit optikal konvensional, Focus Point turut memperluas perkhidmatan penjagaan mata menerusi teknologi saringan AirDoc berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang kini tersedia di 110 cawangan.

 

Program jelajah penjagaan mata kumpulan itu turut menjalankan saringan terhadap 19,272 individu pada 2026 berbanding 15,042 pada 2025, manakala pengenalan cermin mata pintar dilihat oleh Mercury Securities berpotensi menjadi sumber pertumbuhan tambahan kepada kumpulan.

 

Kerugian perniagaan makanan dan minuman susut 97.9%

Sementara itu, segmen makanan dan minuman (F&B) Focus Point menunjukkan tanda pemulihan apabila kerugian sebelum cukai menyusut 97.9% berbanding suku sebelumnya kepada hanya RM10,000 pada suku ketiga FY26, disokong peningkatan kecekapan kos serta pemulihan jualan korporat dan runcit.

 

Susulan penutupan cawangan berprestasi rendah, pihak pengurusan merancang mengekalkan 11 cawangan runcit milik penuh berbanding 14 pada 2025, dengan memberikan lebih tumpuan kepada pelanggan perniagaan, selepas jualan korporat meningkat 8.2% berbanding suku sebelumnya.

 

Keuntungan sembilan bulan meningkat 14%

Bagi sembilan bulan pertama FY26, Focus Point mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 14% kepada RM25.8 juta, manakala pendapatan meningkat 3.5% kepada RM227.9 juta, didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen optikal serta pengurangan kerugian perniagaan F&B.

 

Mercury Securities menyemak turun unjuran keuntungan teras FY26 sebanyak 1.8% kepada RM36.3 juta, namun menaikkan unjuran FY27 sebanyak 1.1% kepada RM40.3 juta, dengan mengambil kira perkembangan terkini bilangan cawangan serta rancangan pengembangan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Focus Point dengan menaikkan harga sasaran saham daripada 65 sen kepada 65.5 sen, selain mengunjurkan hasil dividen antara 6% hingga 7%.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved