Pelantikan ketua Rohingya di setiap daerah, Kerajaan Kelantan tidak iktiraf

LocalPolitics
24 Jun 2026 • 6:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelantikan ketua Rohingya di setiap daerah, Kerajaan Kelantan tidak iktiraf
Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf pelantikan ketua Masyarakat Rohingya Kelantan (MRK) di setiap daerah yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu kerana ia dibuat tanpa pendaftaran atau kelulusan pihak berkuasa. Gambar kiri: Hilmi Abdullah

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf pelantikan ketua Masyarakat Rohingya Kelantan (MRK) di setiap daerah yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu kerana ia dibuat tanpa pendaftaran atau kelulusan pihak berkuasa.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ia dilaksanakan secara sendiri oleh komuniti berkenaan dan tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan sebarang pelantikan rasmi membabitkan ketua masyarakat Rohingya di negeri ini.

"Mereka pandai-pandai membuat lantikan sendiri, tidak ubah seperti melantik ketua rombongan untuk pergi ke perkhemahan.

"Tetapi jika dibiarkan, ia akan jadi bahaya kerana takut jadi macam kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Ujar beliau, ini berikutan mereka tidak berdaftar.

Hilmi memberitahu, sebarang perhimpunan rasmi atau aktiviti melibatkan sesuatu kumpulan perlu mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Tambahnya, penganjur perlu memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sekurang-kurangnya lima hari sebelum sesuatu perhimpunan diadakan dengan menyatakan lokasi serta masa program.

"Mereka perlu memohon lesen dengan pihak polis, kemudian Ketua Polis Daerah akan mengenakan syarat-syarat yang sesuai dan memaklumkan kepada penduduk sekitar sekiranya terdapat bantahan awam.

"Jika tiada bantahan, mereka boleh berhimpun," katanya.

Menurut beliau, kegagalan memaklumkan kepada pihak berkuasa boleh menimbulkan kebimbangan serta kecurigaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya, perhimpunan berbentuk keagamaan, perkahwinan, pengebumian dan sambutan perayaan tidak perlu dimaklumkan kerana dikecualikan di bawah peruntukan akta berkenaan.

Terdahulu, tular di Facebook menyaksikan etnik Rohingya di negeri ini telah melantik ketua daerah masing-masing, malah diberikan sijil lantikan.

Warganet mendesak siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved