
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa pelarian Myammar yang dikenal pasti mempunyai rekod jenayah di Malaysia tidak akan dihantar pulang ke negara asal serta-merta sebaliknya perlu menjalani hukuman terlebih dahulu mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut beliau semalam (13 Oktober), individu yang dikenal pasti akan diuruskan mengikut undang-undang negara ini sebelum sebarang proses penghantaran pulang dipertimbangkan kerajaan.
Memetik Berita Harian, kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula rakyatnya sekiranya proses pemeriksaan dan pengesahan identiti selesai dilakukan pihak berkuasa di negara ini.
“Sekiranya mereka ada rekod jenayah kita urus cara kitalah. Kalau rekod kita mendapati dia terlibat pelanggaran undang-undang, kita akan uruskan secara undang-undang dululah. Itu tidaklah segera penghantaran pulang.
“Jadi, yang itu disampaikan oleh Presiden Myanmar (Min Aung Hlaing). Caveat-nya adalah kalau ada yang terkait dengan perbuatan jenayah mengikut undang-undang kita, itu diuruskan cara kita.
“Saya ingat adillah yang itu. Kita ada undang-undang negara kita, kita akan lakukan seperti itu,” katanya, lapor Sinar Harian.
Kerajaan Myanmar Beri Jaminan Keselamatan Untuk Setiap Warganegara Yang Dibawa Pulang, Setakat Ini Terima Semula 5,000 Warganegaranya
Sementara itu, Saifuddin menjelaskan bahawa Kerajaan Myanmar memberi jaminan keselamatan terhadap warganegaranya yang dihantar pulang.
Keputusan penghantaran pulang itu dibuat berdasarkan komitmen asal Myanmar untuk menerima semula 5,000 warganegaranya hasil rundingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan pihak negara terbabit.
“Daripada jumlah 5,000 yang dikenal pasti itu, kita sudah memproses dan menghantar pulang 1,400 orang menggunakan kapal laut milik tentera laut Myanmar. Baki 3,600 lagi akan menyusul selepas ini secara berperingkat,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya
Baca Artikel Berkaitan: UNHCR Bimbang, SUHAKAM Gesa Hentikan Selepas Malaysia Hantar Pulang Lebih 1,000 Pelarian Myanmar
10,943 Warga Myanmar Telah Dihantar Pulang Dari Malaysia – Anwar Ibrahim
Pada 8 Oktober lalu, Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan Myanmar menyatakan kesediaan menerima penghantaran pulang antara 3,000 hingga 4,000 lagi rakyatnya yang kini berada di depot tahanan imigresen Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata lebih 10,493 warga Myanmar telah dihantar pulang dari Malaysia melalui penerbangan dan kapal tentera laut setakat ini.
Dalam pada itu, Anwar juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Myanmar kerana menunjukkan komitmen dalam menanggung kos penghantaran pulang dalam jumlah yang besar.
“Tidak banyak negara, berdasarkan pengalaman saya, yang bersedia menerima penghantaran pulang dalam jumlah besar dengan menanggung perbelanjaan sendiri seperti yang ditunjukkan Myanmar.”
Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan jumlah pelarian Rohingya rasmi di Malaysia mencecah 130,000 namun jumlah tidak rasmi sudah pun melebihi 200,000 orang.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Rohingya Di Malaysia Umpama ‘Bom Jangka’, Boleh Gugat Kestabilan Politik – Syed Saddiq [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ada Rakyat Tempatan Bersekongkol & Lindungi PATI Termasuk Rohingya – Amirudin Shari






