Pelarian Myanmar akan tetap dihantar pulang – Saifuddin Nasution

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 1:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelarian Myanmar akan tetap dihantar pulang – Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA- Kerajaan akan meneruskan usaha menghantar pulang pelarian Myanmar ke negara asal selagi tiada keputusan mahkamah yang mengarahkan sebaliknya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan oleh Majlis Peguam Malaysia membolehkan kerajaan meneruskan usaha berkenaan sementara menunggu prosiding semakan kehakiman pada 8 Disember ini.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri akan terus berunding dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu pelarian yang telah berlarutan selama beberapa dekad.

“Buat masa sekarang, permintaan untuk penangguhan oleh Majlis Peguam ditolak. So kita teruskan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Katanya, pasukan peguam kerajaan bersama Jabatan Peguam Negara akan mewakili kerajaan dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan.

Saifuddin berkata, kerajaan perlu terus berunding dengan Myanmar kerana masalah pelarian tidak dapat diselesaikan sekiranya hubungan dan perbincangan dengan negara asal mereka tidak dapat dilaksanakan.

“Macam mana nak selesai masalah kalau kita tak boleh jumpa dengan pemimpin Myanmar? Sebab itu kita jemput dia datang,” katanya.

Katanya, melalui perbincangan dua hala, kerajaan dapat menyampaikan pendirian Malaysia, mendengar pandangan pihak Myanmar dan menetapkan tindakan susulan bagi menangani isu berkenaan.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, kerjasama dengan kerajaan Myanmar penting bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara berperingkat, selain mengurangkan tekanan terhadap kemudahan tahanan imigresen.

“Kerajaan akan terus menangani isu berkenaan melalui saluran diplomatik dan perundangan, dengan keputusan mahkamah menjadi panduan terhadap tindakan seterusnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pelarian Myanmar akan tetap dihantar pulang – Saifuddin Nasution appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved