
KUALA LUMPUR - Malaysia akan meneruskan penghantaran pulang pelarian termasuk warga Myanmar susulan keputusan mahkamah menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk menangguhkan proses berkenaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata, proses tersebut akan dibuat mengikut saluran undang-undang dan proses diplomatik yang sah.
Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Myanmar bagi membolehkan penghantaran pulang kumpulan kedua dilaksanakan, selagi tiada keputusan sebaliknya daripada mahkamah.
“Jadi biar jalur undang-undang yang membuat keputusan. Sehingga ada keputusan sebaliknya, kita teruskan (penghantaran pulang).
“Buat masa sekarang permintaan untuk penangguhan oleh Majlis Peguam ditolak, jadi kita teruskan. Semakan kehakiman itu ditetapkan pada 8 Disember ini,’’ katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi KDN di Putrajaya, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk menghentikan sementara penghantaran pulang kira-kira 5,000 pelarian dan pencari suaka warga Myanmar, atas alasan penangguhan tidak boleh dibenarkan sebelum kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman diberikan.
Hakim Norliza Othman berkata penolakan itu tidak menjejaskan hak Badan Peguam untuk memperbaharui permohonan, selepas mahkamah memutuskan sama ada mahu memberikan kebenaran bagi semakan kehakiman atau sebaliknya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung kehadiran pelarian Myanmar, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya urusan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata walaupun kehadiran pelarian berkenaan menimbulkan pelbagai isu sosioekonomi dalam komuniti tertentu, masyarakat tidak seharusnya bertindak keterlaluan sehingga melanggar undang-undang.
"Kedatangan mereka memberikan masalah ekonomi, politik dan sosial dalam komuniti tertentu sehingga mengundang segelintir masyarakat kita mengambil tindakan sendiri seperti menyerang kediaman mereka atau menghalau dari kampung.
Pihak polis menjalankan tanggungjawab dan meminta agar jangan ambil tindakan undang-undang di tangan sendiri. Serahkan kepada pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan imigresen yang sentiasa menjalankan operasi berterusan," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memilih pendekatan diplomasi dengan Myanmar bagi menangani isu pelarian dari negara itu biarpun kini berdepan kecaman dan kritikan antarabangsa terhadap pendirian kerajaan dalam menangani perkara berkenaan.
Beliau berkata hasil perbincangan dengan pihak berkuasa Myanmar, negara itu bersetuju membawa pulang sebahagian rakyatnya yang berada di Malaysia dengan kos pengangkutan ditanggung sendiri, termasuk menggunakan pesawat dan kapal.
Setakat ini, kira-kira 10,300 warga Myanmar telah dihantar pulang, manakala 3,000 lagi dijangka melalui proses penghantaran pulang pada bulan ini. - 29 Oktober, 2027
The post Penghantaran pulang pelarian Myanmar diteruskan : Saifuddin appeared first on Scoop.






