
PUTRAJAYA – Kerajaan terus komited memperkukuh keupayaan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merangkumi aset udara, laut dan darat bagi memastikan keselamatan serta sempadan perairan negara sentiasa terkawal.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu penting memandangkan APMM menggalas tanggungjawab besar menjaga hampir 600,000 kilometer persegi perairan negara daripada pelbagai ancaman pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.
Antara aset yang akan diperoleh agensi itu ialah empat unit helikopter baharu AW189, kapal Multi- urpose Mission Ship (MPMS) dan pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV).
“Kita memperuntukkan dana yang cukup munasabah untuk memastikan aset udara, laut dan darat dan sebagainya supaya APMM tahu dalam menjalankan tugas penting, kerajaan memberikan sokongan kuat kepada agensi ini.
“Kalau aset udara itu usang, tentu ia memberi kesan kepada APMM dalam menyampaikan atau melaksanakan tugasan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan komited untuk menyiapkan projek pembinaan dua lagi OPV untuk kegunaan APMM bagi memperkasakan operasi agensi itu.
Selain itu, beliau merakamkan takziah kepada keluarga anggota APMM Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut dalam kemalangan bot di perairan Perlis baru-baru ini.
“Kita doakan mudah-mudahan perginya sebagai syuhada kerana bertugas membela keselamatan negara,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam Isnin lepas, Mohd Roshaimi maut manakala tiga lagi cedera selepas bot dinaiki mereka dipercayai melanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang berhampiran Kuala Perlis ketika mengejar bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin. – Bernama
The post Keupayaan aset APMM terus diperkasa, pastikan kedaulatan maritim appeared first on Kosmo Online.






