
SHAH ALAM, 17 OGOS: Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan data pelarian termasuk etnik Rohingya di setiap daerah untuk dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tindakan lanjut.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata proses berkenaan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah dengan Hulu Langat antara daerah yang sudah mengumpulkan maklumat berkaitan.
"Ada data. Itu dikumpulkan oleh Jawatankuasa Keselamatan Daerah dan daerah Hulu Langat memang telah kumpulkan dan ada data.
"Daerah-daerah lain akan kumpulkan untuk kita kemuka kepada pihak Menteri Dalam Negeri dan juga untuk diambil tindakan bersama UNHCR," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SmartSel Sdn Bhd dan PG Linkaran Fibre Sdn Bhd serta penyempurnaan Projek Fiberisasi Cyberjaya di sini, hari ini.
Amirudin berkata urusan pendaftaran dan tindakan berkaitan pelarian berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi KDN, sementara Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa memberikan lesen atau kebenaran berkaitan status mereka.
Menurutnya, proses pendaftaran perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tindakan susulan dapat disusun termasuk usaha penghantaran pulang ke negara asal.
"Dia kena berdaftar. Ini adalah bidang kuasa bawah Kementerian Dalam Negeri dan kita tunggu proses pendaftaran itu selesai untuk kita susun dan aturkan balik.
"Seboleh mungkin kita nak hantar balik dan penghantaran balik itu memerlukan persetujuan kerajaan mereka," ujarnya.
Bagaimanapun, Amirudin berkata perkara berkenaan perlu ditangani secara seimbang dengan mengambil kira faktor kemanusiaan bagi mengelakkan timbul masalah sosial lain.
Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri tidak boleh memberikan lesen atau menyediakan ruang kepada golongan berkenaan, tetapi urusan pemilik persendirian yang menyewakan kediaman kepada mereka berada di luar bidang kuasa negeri.
"Tetapi ada faktor kemanusiaan yang kena tengok. Kalau kita halau semua, akhirnya mereka melarat di tepi jalan dan akan timbul masalah sosial yang lain.
"Jadi, kena seimbang dalam hal ini," katanya.
Beliau turut menjelaskan isu individu tanpa kerakyatan tidak hanya membabitkan etnik Rohingya, sebaliknya turut melibatkan kumpulan lain yang memerlukan penyelesaian secara menyeluruh.
Terdahulu, KDN telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap pelarian Rohingya sebagai persediaan bagi penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar itu.
Proses menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula pada 1 Januari lalu bertujuan menguruskan pendaftaran maklumat biometrik, tapisan keselamatan serta proses penentuan dan pengesahan status migran yang memohon perlindungan sementara di negara ini.
Fasa pertama program itu memberi tumpuan kepada tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di seluruh Semenanjung Malaysia dengan seramai 4,010 individu telah didaftarkan.
Fasa kedua DPP pula melibatkan pendaftaran pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu di luar DTI yang mengaku sebagai pelarian dan dirancang bermula pada separuh kedua tahun ini.






