MELAKA - Seorang pelayan bar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal yang juga ibu muda dalam kejadian Selasa lalu.
Tertuduh, S Darshan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan Ujong Pasir, hadapan Kondominium Pasir Mutiara sekitar jam 2.30 pagi.
Kemalangan itu mengakibatkan kematian penunggang motosikal, Nur Aleya Natasha Roslan, 21.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Selain itu, tertuduh juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM2,200 sebulan dan menanggung bapanya yang berusia 58 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan mangsa, Nur Aleya Natasha disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki akibat kemalangan itu.
Ketika kejadian kereta dipandu suspek dalam perjalanan dari arah Bandar Hilir menuju ke Serkam sebelum dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah Bukit Lintang menghala ke Bandar Melaka.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
