‘Pelepasan cukai hiburan, tanda aras Wilayah untuk negeri lain’

LocalEntertainment
9 Oct 2026 • 5:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Pelepasan cukai hiburan, tanda aras Wilayah untuk negeri lain’

PETALING JAYA – Pelakon yang juga Presiden persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menyambut baik keputusan kerajaan melaksanakan pelepasan cukai bagi tiket filem dan teater di Wilayah Persekutan yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pembentangan Belanjawan Kerajaan Madani sebentar tadi.

Zed atau nama lengkapnya Rozaidi Abdul Jamil, 46, berpendapat inisiatif tersebut wajar dijadikan contoh kerajaan negeri lain.

“Itu satu petanda aras yang baik dan sebenarnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain untuk menyusuli sebab kena faham, bila kata cukai pelepasan termaktub kepada Wilayah Persekutan saja.

“Tapi negeri-negeri lain ada prosedur melalui negeri masing-masing. Kalau Wilayah boleh buat untuk pelepasan cukai terhadap filem dan teater, itu satu tindakan yang sangat baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Dalam masa sama, pelakon filem Gila-Gila Pengantin itu bersyukur pengecualian tersebut dijangka mampu merancakkan lagi pembikinan filem selepas ini.

“Dalam masa sama dia akan memulangkan benda itu kepada pihak industri dan memberi minat lebih ramai lagi peminat-peminat filem dan teater untuk ke pawagam dan pentas teater.

“Secara tak langsung dia membantu ekonomi dalam industri kreatif terutamanya kepada penerbit. Benda ini satu inisiatif yang sangat baik.

“Kalau kerajaan nak buat secara keseluruhan itu memang akan mengikut peringkat negeri masing-masing,” jelasnya.

Selaku wakil SENIMAN, Zed berharap agar inisiatif tersebut tidak hanya terhenti di Wilayah Persekutuan, sebaliknya turut diperluaskan ke seluruh negara bagi membela nasib penggiat seni secara menyeluruh.

“Cuma kita sebagai SENIMAN berharap kalau boleh selain daripada Wilayah, kita minta negeri-negeri lain dapat mengikuti jejak kerajaan Persekutan di mana pelepasan cukai untuk tiket filem dan teater.

“Dia banyak memberi manfaat kepada orang industri,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.

Malah, kerajaan turut memperuntukkan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Selain itu, insentif tambahan turut disediakan kepada karya yang mengetengahkan budaya serta identiti negara sebagai usaha mengangkat keunikan Malaysia menerusi kandungan kreatif yang berpotensi mendapat perhatian penonton antarabangsa.

Sementara itu, industri animasi tempatan turut diberi nafas baharu menerusi pembangunan 20 harta intelek (IP) baharu yang berpotensi memperkenalkan watak ciptaan Malaysia ke peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Pelepasan cukai hiburan, tanda aras Wilayah untuk negeri lain’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved