Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 yang merangkumi pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, termasuk peningkatan peruntukan bantuan tunai, pelepasan cukai individu serta pelarasan gaji minimum.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan pendidikan, kesihatan, perumahan dan kebajikan golongan yang berkhidmat dalam sektor keagamaan.
Berikut merupakan 10 intipati penting Belanjawan 2027 yang bakal memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia.
Artikel berkaitan : Belanjawan 2027: Jawatan Tetap Doktor Kontrak, Elaun Naik & Pelan MediAsas Diperkenal
Artikel berkaitan : Belanjawan 2027: 9 Juta Penerima STR Bakal Terima Sehingga RM150 Sebulan
1. Peruntukan STR dan SARA meningkat kepada RM16 bilion

- Peruntukan keseluruhan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini.
- Penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM150 sebulan, bersamaan RM1,800 setahun.
- Rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR pula akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali.
2. Pelepasan cukai individu naik kepada RM12,000
- Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
- Kadar cukai pendapatan turut dikurangkan sebanyak satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM150,000.
3. Gaji minimum naik kepada RM2,000 mulai Jun 2027
- Gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa Jun 2027.
- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan tersebut.
- Kerangka gaji minimum sebanyak RM2,500 sebulan turut diperkenalkan sebagai permulaan bagi graduan dan pekerja separa mahir.
4. Empangan Lebir dirancang untuk menangani isu banjir dan bekalan air di Kelantan
- Kerajaan merancang pembinaan Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu banjir dan bekalan air di Kelantan.
- Usaha itu turut disertai projek rawatan air serta penggantian paip uzur.
5. Pengecualian duti setem untuk pembeli rumah pertama
- Pengecualian penuh duti setem diberikan bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
- Bagi rumah berharga sehingga RM750,000, pengecualian penuh diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki selebihnya menikmati pengecualian sebanyak 50%.
- Kemudahan ini tertakluk pada syarat yang diumumkan kerajaan.
6. Lebih 10,000 penyewa premis DBKL dapat potongan sewa 50%
- Lebih 10,000 peniaga kecil yang menyewa premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menerima potongan sewa sebanyak 50%.
- Potongan tersebut akan diberikan sepanjang tahun 2027.
7. Peruntukan Kementerian Kesihatan meningkat kepada RM47.7 bilion
- Peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinaikkan kepada RM47.7 bilion.
- Lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun 2027.
8. Bantuan Awal Persekolahan naik kepada RM200, pelajar Tingkatan Enam turut menerima elaun
- Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid.
- Kerajaan turut bersetuju memberikan elaun sara hidup berjumlah RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam.
9. Bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI naik kepada RM500
- Bantuan tiket penerbangan menerusi inisiatif FlySiswa MADANI dinaikkan daripada RM400 kepada RM500.
10. Insentif khas guru KAFA dan caruman PERKESO untuk petugas masjid
- Insentif khas sebanyak RM150 sebulan akan diberikan kepada 500 orang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk melalui penggunaan bahasa isyarat dan al-Quran Braille.
- Kerajaan melalui Tabung Haji juga akan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi semua 40,000 orang imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.
Sumber: MOF
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






