Pelesen senjata api diingat patuhi syarat, utamakan keselamatan

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 2:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pelesen senjata api diingat patuhi syarat, utamakan keselamatan

KENINGAU: Pemegang lesen senjata api awam dari daerah Keningau, Tambunan, Sook dan Nabawan diingatkan supaya sentiasa mematuhi syarat pelesenan serta mengutamakan aspek keselamatan dalam pengendalian dan penyimpanan senjata api.

Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Anak Garai pemilikan senjata api bukanlah satu hak mutlak sebaliknya merupakan satu keistimewaan yang diberikan kerajaan di bawah Akta Senjata 1960 dan perlu disertai dengan tanggungjawab yang tinggi.

“Kita mahu mengingatkan semua pemegang lesen supaya memastikan senjata api disimpan dengan selamat di dalam peti besi yang dipasang kukuh serta tidak boleh diakses oleh orang lain termasuk ahli keluarga.

“Senjata api hanya boleh digunakan mengikut tujuan yang dibenarkan dalam syarat lesen seperti perlindungan diri, menjaga tanaman daripada haiwan perosak atau aktiviti sukan dan tidak boleh digunakan untuk aktiviti pemburuan haram atau di kawasan perlindungan yang dilarang.

“Selain itu semua pelesen diminta sentiasa mengamalkan prosedur keselamatan ketika mengendalikan senjata api, melakukan penyelenggaraan secara berkala serta menganggap senjata sentiasa berpeluru bagi mengelakkan kejadian tembakan tidak sengaja,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perjumpaan Bersama PelesenSenjata Api Awam dan Penyerahan Lesen Senjata Api yang menghimpunkan pelesen dari empat daerah berkenaan.

Beliau berkata majlis berkenaan bukan sekadar sesi penyerahan lesen senjata api yang telah diperbaharui malah menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dengan komuniti pelesen.

Mengulas lanjut Yampil turut mengingatkan pemegang lesen supaya sentiasa mengawal emosi dan tidak membawa atau mempamerkan senjata api di tempat awam tanpa alasan yang sah atau menggunakannya bagi tujuan mengugut ketika berlaku perselisihan.

Tegasnya sebarang kehilangan senjata api, peluru atau masalah berkaitan pelesenan hendaklah dilaporkan kepada polis dengan segera kerana kecuaian boleh menyebabkan lesen dibatalkan serta tindakan undang-undang diambil.

Beliau yakin semua pelesen dari Keningau, Tambunan, Sook dan Nabawan merupakan individu yang bertanggungjawab serta sentiasa mematuhi undang-undang.

Menurutnya PDRM akan terus menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan setiap pemegang lesen mematuhi syarat yang ditetapkan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

Sementara itu Yampil turut menjelaskan kekeliruan berhubung dakwaan kononnya IPD Keningau membuat kutipan kewangan bagi pihak polis setiap kali latihan menembak dilaksanakan.

Jelas beliau IPD Keningau ketika ini belum mempunyai lapang sasar sendiri dan terpaksa menyewa lapang sasar milik persendirian bagi tujuan latihan tembak yang diwajibkan semasa proses pembaharuan lesen.

Tegasnya bayaran yang dikutip adalah bertujuan membayar sewa penggunaan lapang sasar dan disalurkan terus kepada pemilik fasiliti tersebut, bukannya kutipan bagi pihak PDRM.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved