Peletakan jawatan Anthony Loke satu keputusan ‘menyakitkan hati’

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 4:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peletakan jawatan Anthony Loke satu keputusan ‘menyakitkan hati’

GEORGE TOWN: Peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan disifatkan sebagai satu keputusan yang ‘menyakitkan hati’ namun ia mencerminkan kesediaan beliau memikul tanggungjawab berlandaskan prinsip.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan yang dibuat Loke itu bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika isu berhubung keputusan mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih menjadi perhatian umum.

”Saya memandang peletakan jawatan saudara Anthony Loke sebagai satu keputusan yang menyakitkan hati kita.

”Ini kerana sebab beliau meletakkan jawatan adalah di bawah pengetahuan umum, iaitu berhubung isu yang dibicarakan sehingga kini masih belum selesai,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBA Holdings Bhd. (PBAHB) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pusat berkata, keputusan tersebut memperlihatkan sikap Loke yang tidak mementingkan kepentingan diri sebaliknya sanggup mengambil tanggungjawab demi menyampaikan mesej penting kepada negara.

“Jadi, peletakan jawatan itu adalah pilihan yang bukan senang dibuat, tetapi atas pertimbangan itu saudara Anthony Loke sanggup memikul tanggungjawab,” katanya.

Ditanya sama ada kepakaran Loke boleh dimanfaatkan untuk membantu DAP Pulau Pinang atau kerajaan negeri lain, Kon Yeow berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama pihak yang mempunyai kepakaran berkenaan.

Menurutnya, parti sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan pelbagai langkah bagi menangani isu serta cabaran politik yang dihadapi.

”Saya percaya apa juga langkah seterusnya akan dibicarakan dan dipertimbangkan oleh CEC untuk membuat keputusan yang bijak, mampan dan lestari,” katanya. – UTUSAN

The post Peletakan jawatan Anthony Loke satu keputusan ‘menyakitkan hati’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved