Peletakan Jawatan Ismail Belum Disahkan, Perlu Perkenan Tuanku Muhriz 

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Peletakan Jawatan Ismail Belum Disahkan, Perlu Perkenan Tuanku Muhriz 

SEREMBAN - Peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan belum dapat disahkan dan sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya boleh berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak istana memaklumkan, bsurat peletakan jawatan berkenaan telah dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, pada jam 12.16 tengah malam, 17 November, oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi dari firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

Menurut kenyataan itu, pihak istana turut mengambil maklum pengumuman Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menerusi media sosial pada jam 10 malam semalam berhubung peletakan jawatan Ismail, yang disertakan bersama dokumen dipercayai salinan surat berkenaan.

Bagaimanapun, pihak istana menjelaskan, peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. 

Dalam perkembangan sama, pihak istana memaklumkan, Ismail telah dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp oleh Setiausaha Sulit pada jam 8.38 malam semalam bahawa permohonannya untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar telah diperkenankan.

Sesi menghadap itu dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi, Jumaat ini, 20 November 2026.

Pihak istana turut menjelaskan bahawa perkenan bagi sesi menghadap berkenaan telah dimaklumkan 80 minit sebelum Zambry membuat pengumuman di Facebook mengenai dakwaan peletakan jawatan itu.

Sehubungan itu, pihak istana menegaskan bahawa kesahihan surat peletakan jawatan yang didakwa ditandatangani Ismail seperti yang dinyatakan Zambry masih belum dapat dipastikan. - Getaran, 17 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved