Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Istana Negeri Sembilan hari ini (17 November) memaklumkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali menerusi satu kenyataan berkata, Istana Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, yang telah dimuat naik di media sosial pada 16 November, 10 malam.
“Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar ke Istana Hinggap, di sini pada 12.16 tengah malam, tadi. Surat itu diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
“Adalah dimaklumkan Setiausaha Sulit (Tuanku Muhriz) kemudian menyampaikan kepada Ismail melalui aplikasi WhatsApp, pada 8.38 malam, perkenan untuk beliau menghadap seperti yang dimohon dan perkara ini diakui diterima beliau.
“Majlis Menghadap tersebut ditetapkan pada 10 pagi, Jumaat ini (20 November),” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Perkenan menghadap Tuanku Muhriz sudah diberi 80 minit awal sebelum Zambry muat naik kenyataan
Malah menurut Azizi, perkenan menghadap tersebut telah diberikan 80 lebih awal sebelum Zambry memuat naik kenyataan tersebut di media sosial.
Tambah kenyataan sama, Istana Negeri Sembilan juga belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut Zambry telah ditandatangani Ismail.

Zahid terima salinan surat peletakan jawatan Ismail sebagai MB – Zambry Kadir
Sebelum ini, Zambry berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima satu salinan surat peletakan jawatan Ismail Lasim sebagai MB yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.
Sehubungan itu Ahmad Zahid akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan UUTKNS.






