
Apa buah tertua di dunia? Persoalan ini mula bermain-main di kepala penulis setelah seseorang di media sosial menyenaraikan hal-hal dianggapnya sebagai ‘dakwaan tidak berasas’ dibuat oleh seorang profesor kontroversi yang namanya cukup hangat baru-baru ini.
Pensyarah wanita yang juga pakar bahasa Arab itu dikatakan berkongsi bahawa pisang merupakan buah pertama dunia. Sejauh manakah kebenarannya? Penulis terpanggil untuk cuba ‘bertabayun’ berbanding terus menghukum.
Hasil dapatan internet tidak ada satu pun yang menyanggah, bahkan sebenarnya buah tertua luas perdebatannya. Memang ada fakta mencadangkan buah tertua ialah fig (tin) berdasarkan kajian arkeologi di Jordan yang menunjukkan ia telah wujud pada 11,400 tahun lalu.
Bagaimanapun banyak pengkaji sejarah dan hortikultur meletakkan pisang sebagai buah pertama dunia atau tertua di dunia sekali gus bermakna dakwaan itu ada asasnya.
Tastingtable.com menyatakan calon popular buah pertama dunia menjurus pisang yang berasal sekurang-kurangnya 10,000 tahun lalu. ChatGPT menyifatkan sejarah pisang adalah misteri dan ia jauh lebih tua daripada yang dipercayai. Wikifarmer Library Britain pula menulis banyak orang juga percaya buah yang berasal dari Malaysia ini buah pertama yang ditanam manusia.
Buku Sundaland: Tracing the Cradle of Civilizations mengungkapkan buah pisang dipercayai berasal di Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu dan kawasan Nusantara lebih 10,000 tahun lalu dan sesetengah saintis percaya ia ‘world’s first fruit’ (buah pertama dunia). Dari Asia Tenggara, buah pisang kemudian dibawa ke India, Afrika dan Polynesia.
Ketika ramai di dunia percaya pisang kemungkinan besar buah pertama dunia, kita pula berasa pelik, lucu dan langsung tak masuk akal? Ternyata kita belum kenal buah sendiri.
Sudah lumrah masyarakat kita memang susah untuk menghadam fakta jika diberitahu sesuatu dari tanah kita lebih tua kerana sudah terbiasa menganggap yang dari tanah Arab, Afrika, Eropah, China itu lebih tua walhal ia tidak mustahil sedang ramai pengkaji bersetuju Nabi Adam sendiri diturunkan di Sri Lanka dan hutan kita juga jauh lebih tua daripada Amazon.
Ketika memang terdapat bukti terkini DNA masyarakat Melayu di Asia Tenggara lebih tua daripada manusia di China oleh universiti-universiti terkemuka dunia, orang kita terus bebal lebih percaya teori lapuk penjajah orang Melayu datang dari Taiwan.
Pisang juga bagi penulis satu buah yang aneh.
Disebut ‘banana’ dalam pelbagai bahasa Barat termasuk bahasa Inggeris, tetapi tahukah anda banana sebenarnya adalah berasal dari bahasa Arab ‘banan’ yang bermaksud jari, sedangkan dalam bahasa Arab setahu penulis pisang ialah ‘mauzun’. Sebiji pisang juga dipanggil a finger of banana dalam bahasa Inggeris.
Tidak seperti buah-buah tempatan lain yang lazim orang Barat menyebutnya mengikut asalnya seperti durian atau rambutan, orang Barat memanggilnya banana, bukan pisang seperti orang Melayu atau piesang oleh orang Afrika. Bahkan betik atau ‘la papaya’ yang berasal dari Mexico juga rata-rata menyebutnya papaya atau babaya dalam bahasa Inggeris mahupun Arab.
Hakikat bahawa buah pisang disepakati rata-rata pengkaji ia berasal dari Nusantara menjadikan benarlah di zaman lampau orang dari kawasan tanah Arab telah lama dahulu berinteraksi dengan Asia Tenggara dan orang Barat pula merujuk atau mempelajarinya daripada Arab. Ini seolah-olah menunjukkan sumber khazanah ilmu Arab berkemungkinan adalah ‘jendela sebenar’ untuk kita memahami sejarah dunia kerana ‘ketuanan ilmu’ dari situ.
Tidakkah juga menghairankan apabila dalam sekian banyak buah di dunia, pisang yang berasal dari Asia Tenggara inilah secara fakta berasaskan kajian genetik berkongsi 50 peratus DNA dengan manusia!
Satu lagi yang menarik, pisang juga salah satu buah selain zaitun, tin, delima, kurma dan anggur yang disebut dalam al-Quran iaitu ‘wa tolhin mandud’ dalam surah Al-Waqiah.
The post Pelik, menarik tentang buah pertama dunia appeared first on Kosmo Digital.




