PENCAPAIAN tempat ketiga di Grand Prix (GP) Itali di Litar Autodromo Internazionale del Mugello minggu lalu menjadi titik perubahan penting buat Muhammad Hakim Danish Ramli yang akhirnya meraih podium pertama musim ini.
Keputusan itu bukan sahaja menghadiahkannya 16 mata berharga, malah melonjakkan keyakinan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan menjelang GP Hungary hujung minggu ini.
Selepas tujuh pusingan, Hakim Danish kini mengumpul 43 mata dan menghuni tangga ke-11 keseluruhan kejuaraan Moto3. Namun, cabaran sebenar mungkin baru bermula.
Tumpuan kini beralih ke Litar Balaton Park yang terkenal sebagai litar teknikal, sempit dan sering digelar 'Mickey Mouse Circuit' oleh pelumba berpengalaman kerana susun atur selekoh rapat serta peluang memotong yang terhad. Berbeza dengan Mugello yang mempunyai laluan lurus panjang, Balaton Park lebih menuntut ketepatan tunggangan, disiplin membrek dan keupayaan mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan.
Ciri litar seperti ini lazimnya menjadi ukuran sebenar kemampuan seseorang pelumba. Dalam saingan Moto3 yang terkenal dengan kelompok besar dan persaingan rapat, kesilapan kecil ketika memasuki atau keluar selekoh mampu menyebabkan pelumba kehilangan beberapa kedudukan dalam sekelip mata.
Apa pun, podium di Mugello membuktikan Hakim Danish memiliki kelajuan untuk bersaing dengan kelompok hadapan, namun GP Hungary akan menentukan sama ada pencapaian itu benar-benar menandakan kebangkitan atau sekadar keputusan yang sukar diulang.
Lebih menarik, beliau kini berlumba dengan tekanan berbeza. Jika sebelum ini tumpuan terarah kepada usaha memburu podium pertama, kini harapan peminat tertumpu kepada keupayaannya mengekalkan momentum.
Jika Hakim Danish mampu sekali lagi berada dalam kelompok hadapan di Balaton Park, mesejnya cukup jelas. Podium di Mugello bukan kebetulan, sebaliknya petanda bahawa beliau semakin matang dan bersedia muncul sebagai pencabar konsisten dalam kempen Moto3 musim ini.






