Teka-teki mengenai status legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif akhirnya terjawab apabila adiknya, Datuk Yunus Alif mengesahkan abangnya itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan.
Yunus yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berkata, Abdah, 72, melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lalu di Kuala Terengganu, dengan perkahwinan itu mendapat restu kedua-dua keluarga.
Advertisement
“Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.
“Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat (Datuk Abdah Alif) panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pengesahan tersebut sekali gus menjawab persoalan selepas gambar Abdah bersama pasangannya yang difahamkan berusia 20 tahun tersebar di media sosial dan mencetuskan perhatian peminat bola sepak tempatan.
Yunus turut mendoakan agar perkahwinan abangnya bersama pasangan pilihan hati itu terus berkekalan dan dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.

“Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah,” katanya.
Terdahulu, pihak media cuba mendapatkan pengesahan daripada Abdah berhubung gambar perkahwinan berkenaan, namun bekas pemain Harimau Malaya itu gagal dihubungi.
Pernah Bantu Malaysia Layak Ke Olimpik
Abdah bukanlah nama asing dalam sejarah bola sepak negara apabila menjadi antara tonggak penting skuad kebangsaan ketika era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an.
Beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.
Abdah ketika itu beraksi bersama generasi pemain yang cukup disegani termasuk Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Datuk Jamal Nasir Ismail.
Bagaimanapun, Abdah dan rakan sepasukannya tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik selepas Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Kini, selepas sekian lama meninggalkan pentas persaingan bola sepak, nama Abdah kembali menjadi perhatian peminat selepas berita perkahwinannya disahkan oleh adiknya sendiri.
Dengan restu kedua-dua keluarga, Yunus berharap perkahwinan legenda Harimau Malaya itu terus dilimpahi kebahagiaan dan berkekalan hingga ke Jannah. – BH
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Selalu Yang Kepam Buat Hal.." - Tular Video Kanak-Kanak Dua Tahun Didakwa Dikasari Pengasuh Taska, Polis Buka Kertas Siasatan
The post Pemain Bola Sepak Harimau Malaya Usia 72 Tahun Nikahi Wanita Usia 20 Tahun, Keluarga Sahkan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






