
Kota Kinabalu: Kontinjen boling Sabah meraih pingat perak dalam acara beregu lelaki pada temasya Sukan Maksak Malaysia 2026 di Perlis, Ahad lalu.
Gandingan Muhammad Hairi Hamzah dan Muhammad Hafiz Firdaus Mohd Affendy mara ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan dramatik 12-11 ke atas Johor dalam aksi separuh akhir sebelum tewas 7-17 kepada Perak dalam perlawanan penentuan pingat emas.
Pengurus pasukan Supian Buang menyifatkan kejayaan itu hasil kerja keras kedua-dua atlet serta sokongan padu yang diberikan kepada kontinjen Sabah.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Maksak Sabah, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Majlis Sukan Negeri Sabah, Sabah Credit Corporation (SCC), Bahagian Pengurusan Kewangan, Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar atas sokongan diberikan.
“Tahniah kepada Muhammad Hairi Hamzah dan Muhammad Hafiz Firdaus Mohd Affendy atas kejayaan meraih pingat perak. Kami amat berbangga dengan pencapaian bermakna ini.
“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada kontinjen kami. Kemenangan ini adalah milik kita bersama,” katanya.






