Pemain kena terima keputusan BAM – Razif

28 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemain kena terima keputusan BAM – Razif

PETALING JAYA: Pemain harus menerima keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan hati terbuka, jika nama mereka tidak tersenarai dalam skuad negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, kata legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek.

Menurut beliau, pemain perlu menghormati keputusan yang sudah dibuat pihak pengurusan dan tidak membiarkan isu berkenaan berpanjangan.

Katanya, apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang, terutama dalam soal komunikasi antara pihak pengurusan dengan pemain elit negara.

“Keputusan sudah dibuat. Sebagai pemain kena terima sajalah secara baik. Lain kali benda ini kita tidak mahu berulang lagi supaya pihak pengurusan atau pemain harus profesional berbincang.

“Bagi saya dalam isu pemain beregu, tiada pasangan yang sempurna kerana salah seorang daripadanya mesti ada yang kurang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Razif diminta mengulas mengenai isu Soh Wooi Yik yang diketepikan daripada skuad ke Sukan Asia dan amaran tegas Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Lee Chong Wei yang meminta pemain terima keputusan yang telahpun dibuat sebelum Kejohanan Dunia lagi.

Beliau yang tidak berniat untuk mencampuri keputusan BAM itu, bagaimanapun amat berharap badan induk tersebut lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan melibatkan pemain elit.

“Beregu ini melibatkan dua orang, bukannya satu orang. Jadi baik buruk pun dua orang, bukannya satu orang. Pasangan mana-mana pun dalam dunia ini ada kelemahan.

“Kalau ada kelemahan, bagaimana hendak kita perbaiki. Tetapi tidak bolehlah kalau seorang itu bagus sangat, dialah yang main. Ini satu pasangan, kalau hendak salahkan, salahkan kedua-duanya, bukannya individu,”jelasnya.

Beliau berkata, walaupun prestasi Aaron-Wooi Yik sebelum penilaian skuad Sukan Asia dikatakan kurang memberangsangkan, prestasi mereka di Kejohanan Dunia membuktikan bahawa kemampuan pasangan itu tidak boleh dinilai berdasarkan satu tempoh tertentu sahaja.

Razif berkata, pemain juga perlu diberi ruang untuk memperbaiki kelemahan menerusi perbincangan bersama pihak kejurulatihan dan pengurusan.

“Manusia ini kadang-kadang hari ini main bagus, esok tidak bagus. Jadi saya harap benda ini tidak berulang, harap pemain dengan pengurusan baik-baik sajalah, tidak berpanjangan. Kalau rezeki tidak ada, tidak adalah,” ujarnya.

Razif turut berharap kontroversi yang tercetus susulan ketiadaan Wooi Yik tidak menjejaskan hubungan antara pemain dan pengurusan BAM, sebaliknya kedua-dua pihak mengambil iktibar bagi memastikan komunikasi lebih baik pada masa depan.-UTUSAN

The post Pemain kena terima keputusan BAM – Razif appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved