Keputusan demi BAM, bukan kepentingan peribadi - Chong Wei

30 Aug 2026 • 7:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keputusan demi BAM, bukan kepentingan peribadi - Chong Wei
Chong Wei - Foto: Bernama

DATUK Seri Lee Chong Wei menegaskan setiap keputusan yang dibuatnya selaku Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah berlandaskan kepentingan badan induk itu dan negara, bukannya agenda peribadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengakui memahami setiap tindakan yang diambil pasti akan mendapat pelbagai reaksi, namun tidak mahu kritikan menghalangnya daripada menjalankan amanah yang diberikan.

"Saya buat keputusan untuk kebaikan negara dan kebaikan BAM. Kita bukan asyik mahu jaga hati orang kerana memang susah. Ada orang tahu badminton dan kata kita buat benda betul, ada yang tidak tahu badminton pula kata kita buat benda salah.

"Kalau saya duduk di tempat ini dan tiada keputusan, orang marah saya juga. Kalau ada keputusan, saya gembira kerana saya tahu saya sudah menjalankan tanggungjawab," katanya.

Chong Wei turut menjelaskan isu pemilihan skuad Sukan Asia Aichi-Nagoya yang menyaksikan Soh Wooi Yik tidak disenaraikan bukan keputusan individu daripadanya, sebaliknya berdasarkan penilaian pasukan kejurulatihan beregu.

Menurutnya, barisan jurulatih bertanggungjawab mengemukakan senarai pemain berdasarkan prestasi semasa sebelum nama akhir diputuskan.

"Kita ada jawatankuasa, kita ada jurulatih. Jurulatih yang beri saya senarai nama dan saya luluskan," katanya.

Pada masa sama, Chong Wei mengakui menerima kecaman terutama di media sosial susulan beberapa keputusan yang dibuat, termasuk ada komen yang menjejaskan emosinya.

Bagaimanapun, beliau menganggap perkara itu sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipikul demi memastikan hala tuju badminton negara berada di landasan tepat.

"Saya serius tidak mahu tengok media sosial. Tetapi ada orang tangkap skrin dan tunjukkan kepada saya. Saya kecil hati, tetapi tidak mengapa. Ini tanggungjawab saya," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved