Pemandu ambulans nafi pandu melulu sebabkan kematian pelajar kolej

2 Sep 2026 • 1:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu ambulans nafi pandu melulu sebabkan kematian pelajar kolej

JASIN – Seorang pemandu ambulans syarikat swasta mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Noorikhmal Baharuddin, 41, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Senin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu ambulans jenis Toyota Hiace secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Asyraaf Md. Azizan, 18, yang juga pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.15 pagi di lampu isyarat simpang tiga Kampung Ayer Merbau, di sini pada 26 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak lebih lima tahun.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Hafiz Othman mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat lesen memandu digantung sementara sehingga kes selesai.

Peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 17 September depan untuk sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE

The post Pemandu ambulans nafi pandu melulu sebabkan kematian pelajar kolej appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved