
TAWAU: Seorang pemandu lori treler berusia 57 tahun cedera ringan selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Utara kira-kira jam 4 petang pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata lori berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di persimpangan lampu isyarat Jalan Utara sebelum terbabas ke bahu kiri jalan menghala ke Hilltop.
“Siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan dari Jalan Apas menuju ke Jalan Utara ketika kejadian berlaku.
“Pemandu lelaki tempatan itu mengalami kecederaan ringan termasuk luka melecet pada tangan dan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata bahagian hadapan lori berkenaan mengalami kerosakan termasuk cermin hadapan yang pecah.
“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” ujarnya.
Rosdi turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Nazri Najari di talian 011-51118779 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Pada masa sama beliau mengingatkan pemandu kenderaan berat supaya sentiasa menyesuaikan pemanduan mengikut keadaan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.
Dalam kejadian berasingan di Sepanggar baru-baru ini, seorang bapa dan anak perempuannya maut selepas sebuah treler yang sedang menjalankan kerja pemunggahan terbalik lalu menghempap Toyota Avanza yang dinaiki mangsa.
Sementara itu kemalangan di Jalan Utara berkenaan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk apabila kedua-dua arah jalan terhalang selepas kontena treler terbabit melintang di atas jalan raya.



![[VIDEO] Hilux lawan arus dikejar penunggang motosikal](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/883fdc4a-4523-4632-8b92-165cb9679583-1024x512.jpeg)


