KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta yang tular dalam kemalangan mengakibatkan seorang daripada dua penunggang motosikal putus kaki, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan memandu secara melulu.
TS Kugenthiran, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta Honda City merah secara melulu sehingga melanggar dua motosikal ditunggang, Muhammad Afiq Zayani Azliyuszaini, 24, dan Muhammad Hairy Abdul Rahman, 19.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Sultan Ismail dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman jam 4.30 pagi, pada Khamis.
Dia dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda tidak lebih RM15,000 jika sabit kesalahan termasuk hilang kelayakan lesen memandu maksimum dua tahun.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, Ahmad Nadzli Rizal merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guam hanya bekerja sambilan di Genting Highlands sementara menunggu kemasukan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Dia tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memberikan kerjasama baik kepada pihak polis," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Tg Syazwany Yasmyn membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan sebutan semuka kes pada 15 Jun depan.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, dua lelaki cedera parah selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang, telah dirempuh sebuah kereta di lampu isyarat di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa berusia 24 tahun putus kaki kiri sementara seorang lagi mangsa mengalami patah di tangan serta kaki kiri.

