
REMBAU – Seorang wanita berusia 22 tahun maut selepas skuter jenis Yamaha NVX yang ditunggang melanggar sebuah kereta Perodua Axia yang membelok masuk ke sebuah premis di Kilometer 25.1, Jalan Seremban-Tampin arah Tampin, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, mangsa yang juga pembantu kedai roti terbabas dan motosikalnya terperosok ke dalam longkang berhampiran.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Axia berkenaan berada di lorong kanan sebelum membelok ke kiri untuk masuk ke premis di lokasi kejadian.
“Pada masa sama, motosikal yang berada di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu melanggar hadapan kereta tersebut. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabas dan terbalik ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. Pemandu Perodua Axia iaitu lelaki berusia 60 tahun bagaimanapun tidak cedera. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang skuter maut tidak sempat elak Axia appeared first on Kosmo Digital.





