Pemandu e-hailing didakwa hantar komunikasi jelik di TikTok

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 2:06 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Pemandu e-hailing didakwa hantar komunikasi jelik di TikTok

Pemandu e-hailing berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik melampau di TikTok.

SEPANG: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik melampau menerusi media sosial, Mac tahun lepas.

Syed Rosli Syed Harman, 50, selaku orang kena saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain di TikTok menerusi akaun “syedroslijamalullail” pada 18 Mac 2025.

Hantaran itu kemudian dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya pada 8.30 malam, tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Muhammad Uzair Rifqi Abdul Rahim memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing dan menjalankan perniagaan kecil dan sederhana dengan pendapatan tidak menentu, selain menanggung bapa mertua, isteri dan dua anak yang masih belajar.

Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Jan 2027.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved