
Pemandu E-Hailing Raih Pujian, Tegur Penumpang Buang Sampah Dengan Cara Berhemah
Seorang wargamaya di Threads meraih pujian ramai selepas dia meminta penumpangnya untuk memungut semula sampah yang mereka tinggalkan di sebalik pagar.
Menerusi perkongsian @adjuan1710, video rakaman dashcam yang dimuat naiknya di Threads memaparkan penumpangnya yang dipercayai pelancong meninggalkan satu gelas plastik sebelum menaiki kereta.
Melihat tindakan itu, @adjuan1710 yang merupakan pemandu e-hailing meminta agar penumpangnya yang terdiri daripada tiga orang itu memungut semula gelas plastik berkenaan.
Namun begitu, apa yang menarik perhatian adalah cara dia menegur penumpangnya tanpa menggunakan nada yang kasar atau meninggikan suara.
Awalnya, penumpangnya itu tidak memahami teguran @adjuan1710 dan susulan itu pemandu e-hailing tersebut keluar dari kereta dan berjalan ke lokasi sampah itu.
Tanpa banyak soal, penumpang tersebut terus memungut sampah tersebut dan membawanya masuk ke dalam kereta.
Pemandu E-Hailing Tegur Penumpang Buang Sampah
Dalam pada itu, @adjuan1710 turut berkongsi reaksi penumpangnya itu ketika berada di dalam kereta dan kelihatan tiada salah faham berlaku antara mereka.
Setelah mereka tiba di destinasi, penumpangnya itu sempat bersalaman dengan @adjuan1710 disamping turut mengucapkan kata 'selamat tinggal' dengan senyuman.
@adjuan1710 juga sempat meninggalkan kata-kata menerusi videonya dan berkata dia berharap video yang dikongsinya itu tidak disalah anggap oleh orang ramai.
Baca juga:
OPS Crack: SPRM Tahan Lima Lagi Pegawai JIM Disyaki Bersubahat Godam MyIMMs
Kastam Negeri Sembilan Tumpas Penyeludupan Barang Campur Dan Arak RM12.2 Juta
Katanya, tidak kira siapa pun atau di mana pun, kita seharusnya menghormati budaya, adat dan masyarakat tempatan sambil menikmati percutian.
"Saya cuma nak cakap sikit tentang perbualan kami tadi. Harap jangan salah faham ya.
"Bila kita pergi ke negara orang, tujuan kita adalah untuk menikmati perjalanan, merasai suasana tempatan dan mencipta kenangan yang indah. Pada saya, tak kira negara mana yang kita lawati, penting untuk kita sentiasa menghormati budaya, adat resam dan masyarakat setempat.
"Bukan sebab ia Malaysia semata-mata. Ke mana saja kita pergi, sikap saling menghormati sentiasa dihargai," tulisnya menerusi video.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya memuji tindakan pemandu e-hailing tersebut kerana berani menegur walaupun tidak saling mengenali.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman masing-masing menegur orang lain untuk tidak membuang sampah merata-rata.





