JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan seorang lelaki didakwa mengeluarkan kenyataan menghina al-Quran dan agama Islam di bandar raya ini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai polis berhubung video berkenaan pada jam 3.25 petang, Jumaat.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.55 petang, Khamis di kawasan bandar raya ini.
"Rakaman tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati kerana dipercayai menyentuh sensitiviti serta memburukkan agama Islam.
"Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam), berlaku perbualan antara seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing dengan seorang lelaki disyaki penumpang yang mengeluarkan kenyataan berkaitan al-Quran dan didakwa menghina agama Islam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam rakaman berdurasi 2 minit 20 saat itu, suara seorang lelaki dipercayai penumpang e-hailing didengar mengeluarkan kenyataan mendakwa al-Quran mengajar mengenai pembunuhan.
Bagaimanapun, pemandu e-hailing berkenaan dipercayai membidas kenyataan tersebut dan meminta penumpang terbabit berhati-hati ketika berbicara mengenai agama Islam.
Pemandu itu turut menegaskan supaya agama Islam tidak dihina sebelum penumpang berkenaan dipercayai meminta maaf dan turun selepas kenderaan tersebut berhenti di tepi jalan.
Azrul Hisham berkata, kes kini disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.



![[VIDEO] Tayar lori tercabut, melayang hempap kereta](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/TAYAR-LORI-TULAR-VIRAL-1024x768.jpeg)


