
NILAI – Polis giat mengesan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai memukul seorang pengguna jalan raya dalam kejadian di Kilometer 276 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Seremban, pagi tadi sehingga mencetuskan kesesakan trafik.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.40 petang.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan pemanduan antara dua lelaki tempatan berusia 30-an.
“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memukul mangsa sehingga terjatuh selain mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah terhadap mangsa.
“Kejadian kemudian dilerai orang awam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Johari berkata, identiti suspek dan kenderaan Ferrari dan Perodua Aruz yang digunakan sudah dikenal pasti dan usaha mengesan lelaki berkenaan sedang dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu Ferrari, Aruz bertumbuk atas lebuh raya dicari polis appeared first on Kosmo Digital.



![[VIDEO] Bergaduh tengah lebuh raya punca trafik arah selatan sesak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/36b22c8d-1535-44be-a470-6c0183dee378-1024x766.jpeg)


