
TELUK INTAN – Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan berhampiran Plaza Tol Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE), di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6.32 pagi.
Katanya, nahas membabitkan sebuah lori 25 tan tanpa muatan, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V.
“Pemeriksaan mendapati terdapat dua wanita di dalam MPV Toyota Vellfire. Pemandu wanita berusia 59 tahun cedera parah dan dikeluarkan oleh orang awam.
“Seorang lagi penumpang hadapan iaitu wanita berusia 54 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi tersebut,” katanya di sini hari ini.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis selepas dikeluarkan oleh anggota bomba. Mangsa yang cedera menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu Honda HR-V cedera ringan, manakala drebar lori berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita maut nahas tiga kenderaan di WCE appeared first on Kosmo Digital.






