
MELAKA – Seorang TikToker berstatus ibu tunggal didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas kesalahan mencederakan seorang lelaki di Melaka Sentral, Julai lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nurul Amalina Mohamad Kamal, 32, yang mempunyai hampir 100,000 pengikut di TikTok.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama empat individu lain dengan sengaja mencederakan lelaki berusia 47 tahun di sebuah kedai makan antara pukul 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 25 Julai 2026.
Mangsa mengalami sakit di bahagian belakang badan dan kepala, luka pada hidung serta sakit tulang rusuk kanan sehingga sukar bernafas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Peguam tertuduh, Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu denda minimum kerana anak guamnya tidak bekerja dan merupakan ibu tunggal kepada empat anak.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,800 atau dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Wanita itu kemudian menjelaskan denda tersebut.
Terdahulu, selepas selesai prosiding pertuduhan, kekecohan turut berlaku di pekarangan makamah apabila tertuduh yang diiringi anggota polis meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila gambarnya dirakamkan petugas media.
Tertuduh sempat melemparkan kata-kata bersifat sinis dengan menyatakan “Hai, artis ke aku ni? Ada soalan tak?”. Seorang lelaki yang turut hadir pada prosiding turut menghalang petugas media dengan memegang tangan wartawan dan juruvideo bagi menghalang gambar wanita tersebut dirakam. – KOSMO! ONLINE
The post TikToker didenda RM1,800 cederakan lelaki di Melaka Sentral appeared first on Kosmo Online.




