Pemandu lori didenda RM9,000 pindah 101 ekor kambing tanpa kebenaran

24 Nov 2026 • 10:52 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemandu lori didenda RM9,000 pindah 101 ekor kambing tanpa kebenaran

TAPAH: Seorang pemandu lori didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan 101 ekor kambing tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak pada Mei lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Mohamad Haikal Najmie Mohd. Fauzi, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hidayu Zakaria.

Mohamad Haikal Najmie turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan haiwan ternakan sebanyak RM28,575 dilucuthak kepada kerajaan manakala lori pula diserahkan kepada pemilik asal.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa memindahkan 101 ekor kambing menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai diberi kuasa di hentian sebelah Ladang Bikam arah selatan pada pukul 3.30 pagi, 21 Mei 2026.

Dia didakwa mengikut Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Perak 2008, dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin. – UTUSAN

The post Pemandu lori didenda RM9,000 pindah 101 ekor kambing tanpa kebenaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved